
HUBUNGAN seksual dan perasaan syahwat adalah fitrah serta naluri semula jadi makhluk Tuhan. Memenuhi tuntutan atau keperluan itu, pasangan lelaki dan perempuan yang diikat dengan perkahwinan, mempunyai hak dan kebebasan untuk berinteraksi secara fizikal antara satu sama lain.
Ini penting kerana hubungan intim seks dapat mengeratkan pasangan berkenaan dan ia satu kepuasan dalaman bukan saja dari segi rangsangan anggota, malah secara dalaman. Ini bermakna kepuasan syahwat adalah perkara yang dikehendaki kedua-duanya sama ada suami mahupun isteri. Jika suami atau isteri tidak menikmatinya maka hubungan seksual yang terjalin boleh menjadi hambar dan bukanlah mustahil ia boleh memberikan tekanan.
Perunding Klinikal Andrologi, Prof Emeritus Dr Mohd Ismail Tambi, berkata perkara seumpama itu perlu ditangani sebelum menjadi isu yang menyebabkan keruntuhan rumah tangga kerana keintiman hubungan seks seharusnya berlaku apabila kedua-dua pasangan dalam keadaan selesa, lega, sejahtera dan mesra.
Oleh itu, katanya, kedua-dua pasangan perlu bekerjasama untuk menikmati keintiman seksual secara terbuka dan interaktif, barulah mereka dapat menghayati keseronokan serta kebahagiaan syahwat yang berpanjangan.
“Keintiman seksual adalah keperluan semula jadi dan jika dinafikan atau tidak dapat dipenuhi dengan baik, ia boleh memberikan tekanan. Bagi menangani masalah itu pasangan terbabit boleh mendapatkan kaunseling daripada pakar atau jika perlu membuat rawatan perubatan yang kini ada pelbagai kaedah diperkenalkan untuk mengatasi masalah seksual,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Bengkel Kaunseling Perkahwinan Dan Seksualiti di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Bengkel bertemakan, Seksualiti Murni Keluarga Harmoni itu dianjurkan oleh USIM bersama Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA). Antara matlamatnya ialah memberi kemahiran kaunseling khusus kepada kaunselor yang berhadapan dengan pelbagai ragam kes masalah perkahwinan dan seksualiti.
Dr Ismail yang membincangkan tajuk Ketidakfungsian Seks, Ketagihan Seks dan Ketidakupayaan Seks Serta Kaedah Rawatannya Melalui Pendekatan Bersepadu Psikososial dan Perubatan, berkata walaupun hubungan seksual boleh terjalin secara semula jadi atau automatik, ia mungkin boleh dikawal.
Antara yang mengawal fungsi kesihatan seksual individu termasuklah kesejahteraan psikologikal, hubungan pasangan, pengalaman dilalui, masalah kesihatan dan juga faktor gaya hidup seseorang itu.
“Kegagalan atau ketidakupayaan untuk melakukan persetubuhan memang suatu dilema yang amat menekan pasangan suami isteri. Untuk itulah pasangan perlu tahu apakah masalah sebenar yang mempengaruhi atau menjadi penghalang kepada mereka ketika menjalinkan hubungan dan mendapatkan kepuasan hubungan seksual. Misalnya, pengalaman atau sejarah masa silam seperti penderaan seksual yang pernah dihadapi pasangan boleh menyebabkan pasangan takut untuk bersama.
“Begitu juga keadaan kesihatan fizikal pasangan, contohnya pengambilan ubat-ubatan tertentu boleh menjejaskan prestasi atau menggugat fungsi kesihatan seksual ketika melakukan hubungan intim. Selain kemampuan fizikal, amalan tidak sihat dalam gaya hidup seperti minum arak turut menjejaskan fungsi ereksi,” katanya.
Dr Ismail berkata, ketidakfungsian seksual boleh berlaku sama ada pada lelaki mahupun wanita. Bagi lelaki lazimnya, masalah seksual dihadapi ialah masalah impoten dan gagal mengenali peringkat praklimaks. Masalah impoten yang dihadapi, misalnya boleh menyebabkan wanita berasa kekok apabila berdampingan dengan pasangannya kerana lelaki terbabit tidak menunjukkan tanda semula jadi rangsangan seksual. Masalah cepat klimaks pula selagi tidak dapat dikawal, selagi itulah lelaki berkenaan akan mengalami masalah untuk bersetubuh dengan pasangannya.
Bagi wanita, katanya, masalah biasa dihadapi antaranya ialah ketidakfungsian orgasma dan vaginismus iaitu terdapat kekejangan pada otot vagina yang mengelilingi bukaan serta menyebabkannya mengalami kesakitan ketika melakukan hubungan seksual.
“Ada wanita menyayangi pasangannya, tetapi tidak mahu melakukan hubungan seksual kerana mungkin tidak dapat menahan kesakitan dialami ketika bersama atau ada faktor lain yang membuatnya menolak. Untuk itulah dalam memenuhi keperluan syahwat, pasangan perlu peka dengan keadaan pasangannya.
“Harus juga diingatkan, keperluan dan kehendak syahwat antara lelaki dan wanita adalah berbeza. Bagaimanapun, pasangan yang prihatin mengenai kehendak syahwat pasangannya, keadaan boleh di ubahsuai mengikut kemampuan kesihatan masing-masing,” katanya.
Beliau tidak menafikan, jika keperluan seks pasangan keterlaluan, pasangannya yang sukar untuk menunaikan kehendak itu akan berasa tertekan dari segi mental dan emosi. Akibat tiada tolak ansur dalam hubungan seksual rumah tangga turut bergolak sehingga membawa perceraian.
Sumber : Facebook Asam Garam Rumahtangga